Kem Terendek Dikenakan PKPD

Kem Terendek Dikenakan PKPD


EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata penutupan jalan masuk ke kawasan kediaman penduduk di sekitar kem itu seperti dalam gambar yang tular, adalah inisiatif pihak tentera bagi mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai lokasi berkenaan.

Beliau berkata, ia berikutan kawasan terbabit pernah dikenakan PKPD pada pertengahan bulan lalu selepas 155 penduduk disahkan positif COVID-19.

"Kluster Sungai Udang yang diisytiharkan pada 11 September lalu membabitkan 155 anggota tentera dan ahli keluarga mereka di Kem Terendak, tetapi penutupan jalan masuk ke kediaman seperti dalam gambar tular itu adalah inisiatif pihak kem sendiri dan bukannya Jabatan Kesihatan.

"Difahamkan, langkah diambil pihak kem itu adalah untuk mengawal wabak itu daripada merebak kepada anggota tentera lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program imunisasi untuk remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Azam Ahmad.

Sebelum ini, tular sekeping gambar berserta dakwaan PKPD dikenakan di Kem Terendak, Sungai Udang, selepas dikatakan terdapat lebih 100 kes positif COVID-19.

Gambar yang tular menunjukkan beberapa anggota tentera mengawal jalan masuk ke kem berkenaan dengan meletakkan tong sebagai penghalang.

Sementara itu, Rahmad berkata, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Melaka akan membabitkan pemberian vaksin kepada 27,779 individu berusia 16 hingga 17 tahun dan 51,688 lagi berumur 12 hingga 15 tahun.

"Pemberian vaksin kepada golongan itu sudah bermula dengan 3,600 remaja menerima suntikan dos pertama, semalam, diikuti 3,000 lagi pada hari ini," ujarnya.